Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) merupakan persatuan induk bagi persatuan-persatuan mahasiswa Malaysia yang berada di Jordan. MPMMJ bertanggungjawab dalam memastikan keperluan mahasiswa Malaysia di Jordan dapat dipenuhi dengan baik. Keperluan tersebut meliputi pengurusan kebajikan mahasiswa, penganjuran program-program berunsurkan ilmiah, kerohanian, kemahiran serta pembentukan sahsiah mahasiswa. Program-program tersebut amat penting untuk dilaksanakan agar dapat melahirkan mahasiswa seimbang yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang intelektual, bahkan kompeten serta mempunyai daya saing yang tinggi di samping mempunyai sahsiah terpuji.
Namun begitu, kewangan yang diperoleh MPMMJ adalah terhad. Hal ini kerana, MPMMJ tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap. Tambahan pula, nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang tidak stabil serta pertambahan bilangan ahli saban tahun secara tidak langsung menjejaskan bajet kewangan MPMMJ.
Program-program yang dirangka hanya dapat dijalankan mengikut kestabilan keadaan kewangan semasa. Justeru, bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan, kami menubuhkan kempen ini sebagai satu inisiatif bagi membantu kewangan MPMMJ agar dapat menjaga hal ehwal kebajikan ahli MPMMJ serta dapat menjayakan program yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa Malaysia.
Segala sumbangan yang dihulurkan kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih. Semoga Allah S.W.T. membalas jasa tersebut dengan sebaik-baik ganjaran.